KUALA LUMPUR, 4 Mac - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan semakan kehakiman oleh bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dan keluarganya berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mereka.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan itu tanpa kos pada prosiding di mahkamah terbuka hari ini.
“Pemohon gagal membuktikan unsur niat jahat terhadap pegawai SPRM yang menjalankan siasatan,” katanya.
Daim, 85, isterinya Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid, 66, serta empat anak mereka iaitu Asnida, 62, Md Wira Dani, 45, Muhammed Amir Zainuddin, 28, dan Muhammed Amin Zainuddin, 25, serta Menara Ilham Sdn Bhd, telah memfailkan permohonan itu pada 10 Jan lepas dengan menamakan SPRM dan Pendakwa Raya sebagai responden.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan hadir bagi pihak responden manakala peguam Tan Sri Tommy Thomas mewakili kesemua pemohon.
Ketika membacakan penghakiman, Wan Ahmad Farid berkata dakwaan bahawa notis yang dikeluarkan oleh SPRM adalah tidak sah, penggunaan tafsiran perundangan yang berbeza tidak terjumlah kepada kesilapan dalam undang-undang yang boleh diterima pakai dalam semakan kehakiman.
Beliau juga berkata sekadar syak wasangka berkaitan unsur niat jahat atau dakwaan berlaku intimidasi adalah tidak mencukupi.
“Daim dan isteri beliau sudah didakwa di Mahkamah Sesyen… isu membabitkan dakwaan bahawa siasatan dan akhirnya pendakwaan mereka adalah bermotifkan politik seharusnya ditangani pada perbicaraan kes jenayah itu.
“Percubaan untuk membatalkan pendakwaan di Mahkamah Sesyen hendaklah dibuat melalui permohonan jenayah bukan semakan kehakiman,” katanya.
Hakim itu juga berkata pemohon gagal membuktikan bahawa keputusan atau peninggalan keterangan oleh pegawai penyiasat SPRM adalah terjumlah dalam alasan tradisional bagi semakan kehakiman.
“Ringkasnya, ambang itu tidak dilepasi. Oleh kerana pemohon gagal membuktikan unsur niat jahat maka permohonan ini bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman harus gagal. Tiada kes yang boleh dihujah untuk memberikan keputusan yang memihak kepada pemohon pada pendengaran substantif jika kebenaran diberikan.
“Justeru itu, pemberian kebenaran dalam situasi sedemikian adalah sia-sia. Oleh itu, permohonan untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman ditolak,” katanya.
Menerusi permohonan itu, pemohon mendakwa pada 30 Dis 2023, SPRM telah mengeluarkan kenyataan bahawa satu siasatan terhadap Daim telah dibuka berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora.
Daim berkata Kertas Pandora adalah fail sulit yang bocor pada 2021 yang mendedahkan nama-nama pemilik syarikat luar pesisir, aset serta bank akaun di luar bidang kuasa Malaysia dan kesemua fail tidak menunjukkan sebarang salah laku beliau dan keluarganya.
Oleh itu, mereka memohon antara lain perintah mahkamah supaya SPRM dan para pegawainya membatalkan semua siasatan yang dimulakan terhadap pemohon dari Februari 2023 hingga kini serta membatalkan semua notis yang dikeluarkan oleh SPRM. - BERNAMA