JOHOR BAHRU, 14 Mac – Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini melepas dan membebaskan dua lelaki daripada pertuduhan mengedar 32.15 kilogram dadah jenis metamphetamine di Kota Tinggi, Johor, pada tahun 2020.
Pesuruhjaya Kehakiman, Kan Weng Hin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mengemukakan kes prima facie terhadap Muhammad Aufa Bonadi, 28, dan Abbas Ahmad, 35.
Antara faktor yang diambil kira dalam keputusan tersebut ialah tiada kaitan antara bot yang terlibat dalam kes itu dengan kedua-dua tertuduh, dokumen Lampiran A tidak ditender kepada mahkamah, serta ketiadaan bukti berkaitan maklumat yang membawa kepada penemuan dadah berkenaan.
Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Umar Fariz Abdul Kohar, mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Abbas diwakili peguam Datin Freda Sabapathy dan Sarawanan Kumar, manakala Aufa diwakili Fairuz Elias Majid.
Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh didakwa mengedar dadah berkenaan di dalam sebuah bot bersebelahan inap desa di Jalan Selar, Teluk Sengat, pada 22 Mei 2020, sekitar pukul 12.10 tengah hari.