fb fb fb fb fb

Mahkamah arah wanita buat kecoh di masjid Batu Ferringhi buat ujian psikiatri

Tertuduh, Sofiah Abdul Majid diiringi polis ketika tiba di mahkamah

GEORGE TOWN, 20 Mac- Seorang wanita warga emas didakwa di Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap imam dan bilal Masjid Jamek Ar-Rahman di Batu Ferringhi.

Tertuduh, Sofiah Abdul Majid yang berumur 65 tahun dituduh melakukan perbuatan demikian pada 12 Mac lepas pada pukul 10 malam di ruang solat lelaki masjid berkenaan.

Dalam pertuduhan, tertuduh didakwa membuat satu pernyataan zahir bahawa imam dan bilal Masjid Jamek Ar-Rahman di Batu Feringgi itu membaca Al-Quran seperti anjing menyalak yang dirasuk hantu cina atau hindu dengan niat disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaan orang tersebut.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.

Sebaliknya tertuduh diperintahkan untuk menjalani pemantauan kesihatan mental selama sebulan di Hospital Bahagia sebelum pendakwaan dimulakan.

Arahan itu dibuat berikutan ketika pertuduhan, tertuduh tidak menjawab soalan sama ada dia faham kandungan pertuduhan atau tidak, sebaliknya mengatakan semua isi kandungan pertuduhan adalah tidak benar.

Kes akan disebut semula pada 19 April depan beserta dengan laporan psikiatri tertuduh.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE