fb fb fb fb fb

Penoreh getah mengaku tidak bersalah beri pinjaman wang tanpa lesen

Tertuduh, K. Parthiban ketika tiba di mahkamah

SEREMBAN, 20 Mac- Seorang penoreh getah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah atas pertuduhan memberi pinjaman wang tanpa lesen kepada seorang lelaki di daerah Jempol, tiga tahun lalu. 

Tertuduh, K. Parthiban, 45 tahun membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim, Norma Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah menjalankan perniagaan sebagai pemberi pinjaman wang tanpa lesen kepada seorang lelaki berusia 35 tahun dengan jumlah RM6,500.

Perbuatan dilakukan pada 15 Mac 2021 dan 1 Julai 2021 di Ladang Kok Foh Mill, Jempol. 

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan bawah Seksyen 5 kurungan- 2 Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (APPW) yang boleh dihukum bawah seksyen sama. 

Jika sabit kesalahan, hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara selama lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai. 

Mahkamah menetapkan 22 April ini sebagai sebutan semula kes.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE