KOTA BHARU, 18 Januari- Sebanyak 21 tan tembakau jenis virginia bernilai RM650,000 dirampas Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dalam satu operasi bersepadu pada 3 Januari lalu.
Timbalan Ketua Setiausaha Perladangan dan Komoditi Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Zailani Hashim memaklumkan ia merupakan rampasan terbesar dalam tempoh tiga tahun.
Beliau memberitahu rampasan tersebut dibuat di sebuah premis di Ipoh yang dijadikan tempat transit sebelum daun tembakau terbabit diedar ke kilang.
“Pasukan risik operasi sepanjang tempoh tiga minggu itu berjaya mengesan dan terus melakukan rampasan. Tiada tangkapan dibuat terhadap mana-mana pihak semasa kejadian itu berlaku dan siasatan kita terhadap pihak berkenaan sedang kita jalankan supaya bukan saja rampasan tembakau berjaya kita lunaskan, kita ada juga melihat apa bentuk kesalahan lain yang boleh disabit apabila mereka terlibat dalam proses rantaian itu, termasuk dari pintu sempadan, pengangkutannya dan pemilik stor itu," katanya.
Zailani berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media mengenai rampasan tersebut di pejabat LKTN Kubang Kerian di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata hasil soal siasat mendapati pemilik premis berusia 40-an itu mengakui kesalahannya menyimpan daun tembakau tanpa kelulusan.
Tindakan rampasan ini berdasarkan Seksyen 51(1) Akta LKTN 2009 (Akta 692) iaitu tiada seorang pun boleh menyimpan atau dalam miliknya tembakau diawet melainkan jika dia telah mendapat kebenaran bertulis daripada Lembaga.
Di samping itu, berdasarkan Akta 692 Seksyen 51(2), akta yang sama, turut menetapkan mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.