fb fb fb fb fb

Lima warga asing didenda RM1,200 kerana merusuh

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 8 Januari- Lima warga asing termasuk seorang wanita didenda RM1,200 seorang oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, selepas mengaku bersalah merusuh di kawasan pusat hiburan di Bukit Bintang, Disember tahun lalu.

Mereka ialah seorang warga Syria, Abdal Glel dan tiga warga Algeria iaitu Mouaad Lazib, Haithem Nouaouia, dan Yasin Nasah, serta seorang wanita Maghribi, Oumaima Mallas.

Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan memerintahkan semua tertuduh dipenjarakan sebulan, jika gagal membayar denda.

Semua tertuduh didakwa melakukan perbuatan terbabit di Jalan Changkat, Bukit Bintang pada 5.50 pagi, 23 Disember lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama.

Bagaimanapun, peguam Erickka Farrise Amir yang mewakili semua tertuduh merayu hukuman rendah atas alasan anak guamnya merupakan warga asing dan masih bujang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE