fb fb fb fb fb

Dua individu kemuka representasi, miliki hasil penerbitan larangan Al-Arqam

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 8 Januari- Seorang wanita warga emas dan seorang usahawan yang disyaki ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung pertuduhan memiliki hasil penerbitan larangan berkaitan Al-Arqam, September tahun lalu.

Peguam Boestamam Ahmad yang mewakili Aishah Bula Tajudin, dan Mohammad Nazif Jamluddin, memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes berkenaan di dua Mahkamah Majistret.

Dalam kes Aishah yang disebut di hadapan Majistret Farah Nabihah Mohammad Dan, Boestamam Ahmad memaklumkan bahawa representasi itu akan difailkan dalam tempoh terdekat selepas meneliti dokumen berkaitan kes yang diperoleh daripada pendakwaan.

Bagaimanapun, beliau berkata anak guamnya itu, tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini dan memohon kehadirannya dikecualikan pada sebutan kes akan datang.

Ini kerana masih tertekan dengan pemergian suaminya yang meninggal dunia pada Disember tahun lalu.

Sementara itu, di hadapan Majistret S. Mageswary, beliau yang turut mewakili Mohammad Nazif memohon perkara sama atas alasan serupa.

Selepas mendengar hujahan peguam, kedua-dua Majistret , Mageswary dan Farah Nabihah menetapkan 19 Februari ini bagi mengetahui status permohonan representasi kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Aishah didakwa memiliki 38 hasil penerbitan larangan berkaitan Al-Arqam antaranya Darul Arqam 25 Tahun Perjuangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At-Tamimi, dan Khutbah Aidilfitri 1413 Hijrah tanpa sebab yang munasabah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kampung Sungai Penchala, Brickfields, pada 11.30 pagi, 21 September mengikut Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum 5 ribu Ringgit jika sabit kesalahan.

Mohammad Nazif pula didakwa memiliki dua hasil penerbitan larangan berkaitan Al-Arqam, iaitu Perang Teluk Islam akan Kembali Gemilang dan Meruntuh Berhala di Tiongkok di Ekhwan Catering, Kampung Sungai Penchala di Brickfields, pada 10.30 pagi, tarikh sama mengikut akta dan hukuman serupa seperti Aishah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulhilmi Latif dan Amritpreet Kaur Randhawa.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE