KUANTAN, 30 Julai – Lima nelayan kelas B disahkan positif dadah selepas ditahan menerusi Operasi Guardian Siri 1/2025 yang dilaksanakan secara bersepadu melibatkan tujuh agensi penguat kuasa di perairan Pahang, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, kesemua suspek berusia 40 hingga 50 tahun itu ditahan ketika berada di atas bot nelayan di sekitar Jeti Batu Tiga, Kampung Kurnia, Kuantan.
“Kesemua mereka adalah pengguna dadah dan bukannya pengedar. Usaha mengesan serta membanteras rangkaian pengedaran dadah akan terus dilaksanakan bersama agensi penguat kuasa lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penangguhan Operasi Bersepadu Op Guardian Bil. 1/2025 di Jeti Jabatan Perikanan Malaysia, Kuantan.
Beliau menegaskan operasi seumpama itu akan diteruskan bagi mengekang jenayah termasuk penyalahgunaan dadah di perairan negeri Pahang.
Op Guardian siri pertama berlangsung selama dua hari bermula 29 Julai dengan pemeriksaan ke atas 24 bot nelayan, melibatkan lima aset laut daripada pelbagai agensi termasuk Pasukan Polis Marin, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia.
Operasi bersepadu itu merupakan inisiatif baharu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi menyatupadukan penguatkuasaan pelbagai agensi dalam membanteras jenayah maritim, khususnya penyalahgunaan dadah dan jenayah lintas sempadan.