TELUK INTAN, 30 Julai - Mahkamah Majistret Teluk Intan menetapkan 11 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes seorang wanita yang dituduh membunuh ibu teman lelakinya, 15 Julai lalu.
Majistret Naidatul Athirah Azman menetapkan tarikh tersebut sementara menunggu laporan lengkap bedah siasat.
Tertuduh, M. Shobna, 37, yang juga seorang penganggur didakwa menyebabkan kematian seorang warga emas, M. Sumathy, 66, di sebuah bilik di Taman Indah Jaya, Teluk Intan pada kira-kira pukul 3 pagi.
Dia hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan, namun tiada pengakuan direkodkan.
Kes dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan, jika tidak dihukum mati.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Darwis Aghniya Halim Azizi mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, mangsa ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah bilik dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kes itu pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun ditukar kepada kes bunuh selepas hasil bedah siasat menunjukkan unsur mencurigakan.
Susulan itu, polis menahan anak lelaki mangsa serta teman wanitanya dan jian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah.
Berdasarkan siasatan lanjut, tertuduh mengaku membunuh mangsa akibat perselisihan faham.