fb fb fb fb fb

Lelaki Vietnam tarik bayi selepas mencuri di pasar raya direman empat hari

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang lelak yang mencuri di sebuah pasar raya bertindak agresif melarikan seorang bayi berusia 11 bulan daripada dakapan ibunya

BUTTERWORTH, 10 Ogos - Seorang lelaki warga Vietnam yang cuba menarik bayi berusia 11 bulan semasa ingin melarikan diri selepas ditangkap mencuri di sebuah pasar raya di Telaga Air di sini semalam, direman empat hari.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Anuar Abd Rahman berkata permohonan reman terhadap pengawal keselamatan berusia 36 tahun itu dibenarkan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bermula hari ini hingga 13 Ogos bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Suspek ditahan reman empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri, Seksyen 324 mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 iaitu ugutan jenayah.

“Ujian air kencing ke atas suspek negatif dadah dan suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, tular video memaparkan situasi tegang di sebuah pasar raya apabila seorang lelaki warga asing yang memegang bungkusan plastik dan sebilah pisau cuba menarik bayi tersebut daripada seorang wanita.

Anuar berkata kejadian berlaku pada 12.45 tengah hari selepas penyelia pasar raya melihat suspek cuba keluar dengan membawa beberapa makanan laut yang telah ditimbang tanpa membuat pembayaran.

Beliau berkata penyelia berkenaan berjaya menangkap lelaki itu namun suspek melepaskan diri sebelum menarik bayi lelaki yang berada bersama seorang ahli keluarga sambil memegang pisau, hingga berlaku pergelutan.

Suspek akhirnya berjaya ditahan dengan bantuan beberapa pekerja pasar raya dan orang awam, sebelum diserahkan kepada polis yang tiba di lokasi.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE