fb fb fb fb fb

Lelaki Thailand diarah bayar 36 saman trafik tertunggak

Foto hiasan

KANGAR, 25 Julai - Seorang lelaki Thailand yang sering keluar masuk Malaysia membawa pelancong dikesan memiliki 36 saman trafik tertunggak bernilai RM5,780.

Kesemua sama berkenaan dikesan dalam satu Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing di Padang Besar, Perlis.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, semua saman itu dikeluarkan tahun ini kebanyakannya atas kesalahan memandu melebihi had laju.

“Kita berjaya mengesan sebuah motorvan milik warga asing dengan 36 saman tertunggak bernilai RM5,780.

"Kita arahkan dia bayar semua saman tersebut, kalau tidak, kita akan buat penyitaan,” katanya pada sidang media di sini.

Sepanjang lima hari operasi, sebanyak RM44,730 berjaya dikutip hasil bayaran saman trafik.

Sebanyak 420 kenderaan milik warga asing turut diperiksa, manakala 299 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Sehingga Julai 2025, Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar telah mengeluarkan 5,027 saman melibatkan warga tempatan dan asing.

Daripada jumlah itu, 1,899 telah diselesaikan, manakala 3,128 saman masih tertunggak dengan jumlah kutipan keseluruhan mencecah RM183,230.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN