SEPANG, 26 Julai -Seramai 99 warga asing telah ditolak kemasukan ke negara ini selepas gagal mematuhi syarat imigresen dalam satu operasi khas yang dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, pada Jumaat.
Kesemua warga asing terbabit gagal melepasi saringan keselamatan dalam Operasi intensif yang bermula pada pukul 9.30 pagi diketuai Unit Pemantau KLIA Terminal 1 dengan sokongan Unit Integriti.
"Operasi yang menyasarkan penerbangan berisiko tinggi itu menyaksikan lebih 400 individu diperiksa secara rapi.
"Mereka yang ditolak kemasukan terdiri daripada 80 lelaki warga Bangladesh, 10 warga India dan sembilan warga Pakistan," menurut kenyataan AKPS pada Sabtu.
Penolakan dibuat berikutan kesemua mereka gagal memenuhi syarat imigresen, termasuk mempunyai tujuan lawatan dan rekod perjalanan yang meragukan.
Kesemua 99 individu tersebut telah diuruskan untuk proses dokumentasi lanjut dan dihantar pulang ke negara asal mengikut prosedur undang-undang sedia ada.
"Ia melibatkan semakan latar belakang, dokumentasi perjalanan dan temu bual secara individu," kata kenyataan itu.
Tegas AKPS, langkah penguatkuasaan seperti itu akan terus dipertingkatkan secara berkala sebagai strategi proaktif bagi menangani ancaman seperti sindiket penyeludupan manusia ‘counter setting’ dan penyalahgunaan pas lawatan sosial.