fb fb fb fb fb

Lelaki terbabit pergaduhan, meninggal dunia

FOTO FAIL

KOTA BHARU, 13 Julai - Seorang lelaki dipercayai terbabit dalam pergaduhan dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah disyaki akibat ditikam dengan senjata tajam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud memaklumkan mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu ditemukan orang awam di kawasan sebuah perhentian bas di Jalan Wakaf Siku Kota Bharu, pukul 10.00 pagi tadi sebaik terdengar suara meminta tolong.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.

Seorang pekerja kedai pakaian berdekatan yang mahu dikenali sebagai Heri, 29 berkata, sebelum memasuki premis tempatnya bekerja, dia ada melihat mangsa terbaring di perhentian bas tersebut.

"Dia tidak mengesyaki sesuatu yang pelik berlaku kerana perhentian bas tersebut sentiasa ada orang tidur dan dia juga menyangka mangsa sedang tidur di situ,"katanya dalam satu kenyataan.

Namun selepas dua jam berada di dalam kedai tersebut dia didatangi anggota polis untuk bertanya mengenai kejadian itu selain memerlukan kamera litar tertutup di kedai berkenaan.

Mohd Rosdi berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

TETITIA YUSOFF