fb fb fb fb fb

Lelaki sanggup bakar lori elak disita

Foto JPJ Terengganu

KUALA NERUS, 22 Oktober - Seorang lelaki sanggup membakar lori miliknya semata-mata untuk mengelak kenderaan itu daripada disita.

Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Mohd Zamri Samion kejadian yang berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan Padang Air itu turut merisikokan penguat kuasa JPJ yang bertugas.

"Anggota JPJ yang sedang melakukan rondaan telah mengesan sebuah lori yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati pemandu lori berkenaan merupakan remaja bawah umur, lesen kenderaan motor (LKM) kenderaan itu juga telah tamat tempoh melebihi dua tahun serta gagal menjalani pemeriksaan PUSPAKOM sejak 2023.

"Pemilik kenderaan yang tiba di lokasi bagaimanapun enggan memberi kerjasama dan bertindak membakar lori terbabit dalam cubaan menghalang tindakan sitaan mengikut undang undang oleh anggota JPJ," ujarnya.

Mohd Zamri memaklumkan, siasatan awal turut mendapati pemilik syarikat mempunyai enam saman aktif atas nama syarikat serta empat saman atas nama pemandu.

"Antara kesalahan yang direkodkan termasuk memandu tanpa LKM sah, tiada insurans, pemandu bawah umur serta dua kesalahan ubah suai kenderaan,"jelasnya.

Tambah beliau, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak di luar batas undang-undang, selaras dengan peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) selain disabitkan menggangu tugas penjawat awam dan akan dilaporkan ke Jabatan Tenaga Kerja.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN