KEMAMAN, 28 Januari- Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menumbuk seorang anggota polis berpangkat koperal.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Wan Suhaila Mohd kepada Rosidi Mohamed, 37 tahun, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Rosidi didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang penjawat awam berusia 38 tahun di Mahkamah Majistret Kemaman sekitar pukul 12.45 tengah hari, Rabu lalu.
Kesalahan itu dilakukan bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi dan Pegawai Pendakwa Inspektor Muhammad Afif Mohd Hamid, manakala Rosidi tidak diwakili peguam.