fb fb fb fb fb

Lelaki dipenjara dua tahun, cederakan adik kandung guna pisau pemotong daging

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 19 April - Gara-gara pertengkaran mulut, seorang lelaki dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini kerana mencederakan adiknya menggunakan sebilah pisau pemotong daging, minggu lepas.

Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun menjatuhkan hukuman itu ke atas Ong Kim Chui, 45, selepas dia mengaku bersalah mencederakan Ong Boon Choon, 38, dengan pisau di sebuah rumah di Batu Caves pada 12 tengah hari, 13 April lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum sepuluh tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Bagi Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula, tertuduh berdepan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum yang mana dia boleh dikenakan bagi kesalahan di bawah seksyen sama.

Mahkamah turut memerintahkan Ong menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 15 April lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira mangsa dalam kes ini ialah adik kandungnya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia tidak bekerja dan mempunyai isteri serta seorang anak berusia setahun dua bulan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian berlaku pertengkaran mulut antara adik beradik itu dipercayai berpunca daripada perbuatan kasar tertuduh terhadap bapa mereka.

Tertuduh kemudian menolak mangsa dan mengambil pisau pemotong daging lalu mengacukan ke arah muka mangsa.

Pisau itu terkena bahagian kiri muka mangsa yang kemudiannya mendapatkan rawatan di sebuah klinik sebelum membuat laporan polis. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN