fb fb fb fb fb

Polis kesan suspek samun lelaki warga asing di Jalan Tun Razak

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa ditemui media pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras/Foto FB Polis Cheras

KUALA LUMPUR, 19 April - Polis giat mengesan suspek ke lapan yang terbabit dalam kejadian samun lelaki warga asing di sebuah residen di Jalan Tun Razak pada 7 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, suspek yang dipercayai merupakan orang awam itu dapat membantu dalam siasatan kes samun tersebut.

Jelasnya, tujuh individu yang ditahan reman termasuk lima pegawai polis sudah direman maksimum dan kini dibebaskan dengan jaminan polis.

"Pihak polis sedang mengesan dan memburu individu ini yang dipercayai orang awam.

"Kita akan mengedarkan gambar suspek kepada umum, setelah usaha mengesannya di alamat lama tidak membuahkan hasil," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dekat sini pada Jumaat.

Terdahulu, Rusdi menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Cheras baharu antara Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin dan Asisten Komisioner Ravinder Singh Sarban Singh.

Selain itu, pihaknya juga berjaya memperoleh semula wang tunai berjumlah RM142,000 dan 27,000 baht (RM3,500) yang dipercayai disamun daripada mangsa.

Sebelum ini media melaporkan tujuh individu termasuk lima anggota polis ditahan selepas menyamun lelaki warga asing menyebabkan kerugian lebih RM160,000 di sebuah residen di Jalan Tun Razak.

GRACE AISYAH KEDAYAN