fb fb fb fb fb

Lelaki culik kanak-kanak, direman hingga 10 Ogos

Suspek lelaki berusia 31 tahun bergari tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Kulai kira-kira 8.30 pagi

KULAI, 5 Ogos- Reman ke atas suspek kes culik kanak-kanak perempuan, Albertine Leo Jia Hui, 6 tahun di Iskandar Puteri, Johor pada 20 Julai lalu disambung semula hari ini hingga 10 Ogos.

Ia berikutan penemuan pelbagai alat mainan seks, bahan pornografi dewasa dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak di kediamannya, semalam. 

Perintah reman dikeluarkan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi di Mahkamah Majistret Kulai, di sini hari ini, bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek lelaki berusia 31 tahun yang bergari tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Kulai kira-kira 8.30 pagi.

Sementara itu Ketua Polis Johor Komisioner (CP) M Kumar dalam kenyataan memaklumkan, sebelum ini suspek dibebaskan dengan jaminan polis namun ditahan semula, susulan penemuan bahan pornografi dan peralatan seks di kediamannya di Kulai.

Sebelum ini suspek direman selama 13 hari bagi membantu siasatan kes penculikan kanak-kanak terbabit setelah ditahan pada 23 Julai lalu di Batang Kali, Selangor bersama-sama mangsa.

Manakala empat suspek lain berusia 28 hingga 56 tahun dibebaskan dengan jaminan polis.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI