fb fb fb fb fb

Dua pegawai ditahan, disyaki terima rasuah RM14,000

Foto hiasan

SEREMBAN, 6 Ogos- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan reman dua pegawai kanan sebuah pertubuhan di negeri itu kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM14,000 sebagai dorongan melantik dan mendapatkan kerja pembekalan peralatan serta kelengkapan komputer bagi pertubuhan tersebut.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 12 Ogos ini telah dikeluarkan oleh Majistret ,Syed Farid Syed Ali di Mahkamah Majistret Jenayah Dua, Seremban, pagi tadi.

SPRM dalam kenyataanya berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40 an itu telah ditahan kira-kira pukul 5.00 petang semalam ketika diminta hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan.

Kedua-dua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara Januari hingga Mac 2023 dengan memperoleh suapan secara pindahan wang ke akaun bank masing-masing.

Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009.

ROSLINA BINTI DIN