fb fb fb fb fb

JKDM Pahang patahkan cubaan edar rokok, daging khinzir sejuk beku

Sidang media JKDM Pahang

KUANTAN, 6 Ogos- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya mematahkan cubaan pengedaran daging khinzir sejuk beku membabitkan sebuah lori di Kilometer 131, Laluan Jeli-Gerik, Perak pada 17 Julai lalu. 

Pengarah Kastam Negeri Pahang, Mohd Asri Seman berkata, operasi terbabit dijalankan menerusi maklumat awam dan ia dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pahang ke atas lori terbabit pada pukul 5.30 pagi.

"Hasil pemeriksaan menemukan 150 keping daging khinzir seberat 6,750 kilogram dan disyaki tidak memenuhi kriteria berdasarkan butiran satu (1), bahagian satu (1), jadual ketiga, perintah kastam, larangan mengenai import 2023," kata Mohd Asri dalam sidang media di sini.

Nilai rampasan daging khinzir sejuk beku tersebut dianggarkan sebanyak RM135,000 manakala nilai keseluruhan rampasan membabitkan sebuah lori dan daging khinzir sejuk beku dianggarkan sebanyak RM385,000.

Menerusi operasi itu dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an ditahan dan kes disiasat bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, Mohd Asri turut memaklumkan pihaknya juga berjaya menggagalkan cubaan pengedaran 1,313,100 batang rokok melalui dua operasi berasingan .

Operasi pertama pada 16 Julai lalu, pada pukul 2.00 petang Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pahang berjaya mematahkan cubaan pengedaran rokok melibatkan sebuah lori yang ditinggalkan di tepi jalan di Taman Sri Mahkota, Kuantan.

Hasil pemeriksaan dilakukan ke atas lori itu, menemukan rokok pelbagai jenis dan jenama yang disyaki tidak berkastam berjumlah 1,260,000 batang dengan anggaran nilai sebanyak RM100,800 membabitkan jumlah duti dan cukai sebanyak RM841,680.

Bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dilakukan semasa operasi terbabit dan kes masih dalam siasatan .

Sementara itu menerusi operasi kedua pada 22 Julai 2024 pukul 2.30 petang, pihaknya berjaya mematahkan cubaan pengedaran 53,100 batang rokok membabitkan sebuah motokar di Kilometer 129, Lebuhraya Segamat–Kuantan.

Nilai rokok dirampas dianggarkan RM5,617.20 membabitkan jumlah duti dan cukai sebanyak RM45,607.72.

Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an juga ditahan menerusi operasi terbabit.

Pada masa sama pihak JKDM menyeru orang awam untuk memberi kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan di talian bebas tol kastam 1-800-88-8855.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI