fb fb fb fb fb

14 pengikut Millah Abraham dihadapkan ke mahkamah

14 pengikut ajaran sesat dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Batu Pahat, Johor

BATU PAHAT, 6 Ogos- 14 pengikut ajaran sesat yang difatwakan haram iaitu Millah Abraham dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Batu Pahat, Johor, hari ini atas pertuduhan mengingkari pihak berkuasa agama dan memiliki bahan penerbitan agama yang bertentangan dengan hukum syarak.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kesemua tertuduh terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita, selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Mohd Syahir Sahab.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 dan Seksyen 13(1)(B) Enakmen Jenayah Negeri Johor 1997.

Kesemua mereka dibenarkan jaminan RM5,000 bagi setiap kes dengan dua penjamin.

Prosiding hari ini bagi memindahkan kes mengikut daerah masing-masing, selari dengan Seksyen 67 enakmen tatacara jenayah syariah 2003.

Terdahulu, kesemua tertuduh hadir ke perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Batu Pahat, Johor, pada pukul 9.45 pagi, diiringi pihak penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan anggota polis.

Seorang pengikut telah didakwa di Mahkamah Majistret Muar, semalam, manakala dua lagi pengikut dibebaskan dengan jaminan dan dijadikan saksi.

Sebelum ini, 17 individu ditangkap menerusi empat operasi di daerah Batu Pahat, Muar, Pontian dan Segamat pada 1 Ogos lalu, disyaki pengikut kepada ajaran sesat.

Ajaran Millah Abraham difatwakan sesat di Johor pada 30 Julai 2015 serta diwartakan sebagai ajaran dan fahaman yang menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, pada 28 April 2016.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI