fb fb fb fb fb

Lelaki cuba terjun bangunan selepas tikam isteri dan ibu mentua direman

KOTA BHARU, 23 Jun - Seorang lelaki yang cuba terjun dari bangunan semalam selepas dipercayai menikam isteri dan ibu mentuanya dalam kejadian di Tumpat pada Selasa lalu ditahan reman tiga hari di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Perintah tahanan reman terhadap suspek yang berusia 27 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kota Bharu, Nuriza Mustafa.

Tempoh reman bermula hari ini sehingga Sabtu ini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan reman berkenaan.

Katanya, reman dibuat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Reman dibuat bagi membantu siasatan kes berkaitan pencerobohan bangunan yang dalam pembinaan.


(Suspek yang cuba terjun dari bangunan selepas menikam isteri dan ibu mentua direman selama
tiga hari di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan)

Bagi kes mencederakan isteri dan ibu mentua mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, permohonan reman akan dibuat selepas ini di Tumpat.

Semalam media melaporkan seorang pemandu lori ditahan selepas berjaya dipujuk ketika cuba terjun daripada tingkat 31 bangunan dalam pembinaan di Lembah Sireh, Kota Bharu.

Suspek dipercayai melarikan diri ke bangunan itu selepas menikam isteri dan ibu mentuanya dengan dua bilah pisau kerana berlaku perselisihan faham di sebuah rumah di Chabang Empat, Tumpat pada Selasa lalu.

Dalam kejadian pukul 6.35 petang itu, isteri lelaki terbabit yang berusia 20-an cedera retak di kepala dan beberapa bahagian badan manakala ibu mentuanya yang berusia 60-an luka di kepala akibat ditikam suspek.

Media Baharu