fb fb fb fb fb

Lelaki ada 35 rekod jenayah ditahan kes pecah rumah, curi

Gambar hiasan

SEREMBAN, 1 November – Seorang lelaki yang mempunyai 35 rekod jenayah dan dadah ditahan oleh pihak polis di kawasan parkir sebuah pasar raya di Bahau, Jempol, selepas disyaki terlibat dalam tiga kes pecah rumah dan kecurian di daerah ini dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan selepas seorang wanita berusia 56 tahun membuat laporan bahawa rumahnya di Taman Acbe telah dipecah masuk pada 21 Oktober.

"Siasatan mendapati suspek memanjat tembok pagar rumah dan masuk dengan membuka skru tingkap dapur sekitar jam 5.30 pagi.

"Beberapa barang peribadi milik mangsa turut dicuri, dengan jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM2,500," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Hoo, suspek mengaku melakukan kegiatan pecah rumah seorang diri dengan modus operandi memasuki rumah yang ditinggalkan sementara, biasanya antara jam 3 hingga 6 pagi.

Ujian saringan awal menunjukkan suspek positif dadah jenis metamfetamina dan selain memiliki pelbagai rekod kes lampau, termasuk sebagai orang dikehendaki di bawah Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Suspek kini direman tujuh hari hingga 6 November untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

GRACE AISYAH KEDAYAN