JOHOR BAHRU, 1 November – Seramai 65 warga asing bersama dua majikan tempatan telah ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam operasi berasingan di dua daerah pada 28 dan 29 Oktober lalu.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata seramai 33 warga asing ditahan dalam serbuan di tujuh premis sekitar Iskandar Puteri. Manakala empat tangkapan dilakukan di sebuah pasar malam di Gelang Patah.
"Di Johor Bahru, serbuan melibatkan empat tangkapan, dan di Batu Pahat, 12 tangkapan termasuk dua majikan tempatan.
"Kesemua yang ditahan berusia antara 21 hingga 56 tahun dan didapati melakukan pelbagai kesalahan, termasuk tiada permit sah, tinggal lebih masa, penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial, tidak mematuhi arahan, serta melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 61(1)(c), Seksyen 15(1)(c), dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1969/63 (Akta 155), serta Peraturan 11(7)(a) dan Peraturan 17(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.