KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Sebanyak 16,968 saman telah dikeluarkan oleh Polis Kuala Lumpur sejak pelaksanaan Operasi Patuh Undang-Undang (Op PUU) bermula pada 1 Oktober lalu hingga semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata pemandu kereta mencatat jumlah saman tertinggi dengan 13,365 saman, diikuti penunggang motosikal sebanyak 2,813 saman, serta pemandu van dan kenderaan pacuan empat roda sebanyak 200 saman.
“Selain itu, 141 saman dikeluarkan kepada pemandu lori, 62 kepada pemandu teksi, enam kepada pemandu bas dan 381 kepada pejalan kaki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kesalahan menghalang lalu lintas mencatat jumlah tertinggi dengan 11,720 saman, diikuti kesalahan mengabaikan isyarat lalu lintas (2,036 saman).
Kesalahan lain termasuk tiada atau tamat lesen memandu (702 saman), cukai jalan tamat tempoh (489), tidak menggunakan jejantas atau lintasan pejalan kaki (381), tidak berhenti di lampu isyarat merah (148) dan ubah suai kenderaan (80).
Op PUU yang dilaksanakan secara berterusan di seluruh ibu negara bertujuan memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang trafik, dengan tindakan saman dikeluarkan serta-merta terhadap mana-mana pesalah lalu lintas.