fb fb fb fb fb

Lantik anak sendiri , bekas pengurus besar didakwa salah guna kuasa

Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama

AYER KEROH, 16 Februari - Seorang bekas pengurus besar sebuah anak syarikat kerajaan negeri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini atas pertuduhan salah guna kuasa dengan melantik anak perempuannya memegang jawatan di syarikat yang sama.

Pengakuan dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Melaka, Elesabet Paya Wan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya untuk terlibat dalam proses temuduga pemilihan jawatan Penolong Pegawai Sumber Manusia syarikat berkenaan pada 27 Disember 2018.

Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Hakim Elesabet dalam perbicaraannya menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 15 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh juga dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Melaka sebulan sekali hingga kes selesai.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN