fb fb fb fb fb

Langgar lari anggota polis hingga patah tulang rusuk, dua suspek berjaya diberkas

Seorang pegawai rendah polis patah tulang rusuk dan bahu selepas dilanggar sebuah kereta ketika sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah bermotosikal di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor semalam/Foto Polis Perak

IPOH, 5 Februari - Seorang lelaki dan seorang perempuan tempatan ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes mendatangkan cedera parah dengan niat membunuh ke atas seorang pegawai rendah polis, semalam.

Kedua-dua suspek berusia 33 dan 34 tahun itu ditahan hari ini hasil maklumat orang awam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan menerusi kenyataan berkata, turut dirampas sebuah kereta yang digunakan oleh kedua-dua suspek pada hari kejadian.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis THC.

"Semakan lanjut mendapati, suspek lelaki tersebut mempunyai 17 rekod jenayah dan narkotik pelbagai kesalahan, manakala suspek perempuan mempunyai dua rekod kesalahan jenayah," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh esok untuk proses permohonan reman.

Dalam kejadian semalam, seorang pegawai rendah polis patah tulang rusuk dan bahu selepas dilanggar sebuah kereta ketika sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah bermotosikal di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor.

GRACE AISYAH KEDAYAN