fb fb fb fb fb

Jasmine Loo beri keterangan pada perbicaraan kes 1MDB Najib bulan ini

Datuk Seri Najib Tun Razak/Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Februari - Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Jasmine Loo Ai Swan akan memberi keterangan pada perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai saksi pendakwaan ke-50.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan mahkamha bahawa Loo akan disepina mulai 13 Feb selepas Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengarahkan pendakwaan untuk menyediakan saksi seterusnya bersama-sama saksi yang sedang memberi keterangan iaitu Superintenden Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Nur Aida Arifin.

"Loo dikehendaki bersedia dan jika Nur Aida boleh menghabiskan keterangan pada hari tersebut (13 Feb), kami akan meneruskan prosiding dengan beliau," katanya.

Nur Aida, yang juga saksi pendakwaan ke-49, sepatutnya meneruskan keterangannya hari ini, bagaimanapun beliau tidak hadir kerana sakit dan mendapat sijil cuti sakit selama dua hari.

Pada 16 Nov tahun lepas, mahkamah mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-48 iaitu Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram ACP Foo Wei Min yang memaklumkan bahawa Loo adalah saksi penting dan akan mendedahkan semua isu berkaitan Tanore Finance Corporation, entiti yang memindahkan wang US$681 juta ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Pada 7 Julai 2023, Loo menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Terdahulu, Dr K Shanmuganathan dari Poliklinik Primecare di Putrajaya yang mengeluarkan sijil cuti sakit kepada Nur Aida memberi keterangan bahawa saksi itu tidak boleh memberi keterangan kerana mengalami demam panas, selesema dan batuk.

Ahmad Akram kemudian memohon agar perbicaraan hari ini serta esok ditangguhkan dan Sequerah menetapkan 7 Feb depan untuk menyambung pendengaran kes itu.

Najib, 70, hadir di mahkamah dan dilihat bersama-sama isteri beliau iaitu Datin Seri Rosmah Mansor serta duanya, Nooryana Najwa dan Mohd Nazifuddin.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu berdepan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN