TAIPING, 15 Disember- Seorang lelaki berusia 20 tahun berjaya ditahan kurang empat jam selepas dipercayai terlibat dalam kes samun bersenjata di sebuah farmasi di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Taiping, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohamad Nasir Ismail berkata kejadian berlaku sekitar pukul 10.27 malam apabila mangsa yang bekerja sebagai pembantu farmasi telah diacu pisau oleh suspek.
"Semasa kejadian, mangsa telah diacu pisau dan dipaksa mengeluarkan wang tunai dalam mesin kaunter. Akibat ketakutan dan bimbang keselamatan diri, mangsa telah menyerahkan wang tunai sejumlah RM300 kepada suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis kemudian bertindak pantas berdasarkan maklumat yang diterima dan berjaya menahan suspek bersama barang kes termasuk sebilah pisau yang digunakan semasa samun serta baki wang tunai hasil jenayah tersebut.
Mohamad Nasir berkata semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan samun. Kes tersebut disiasat bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.
Suspek telah direman selama enam hari sehingga 20 Disember bagi membantu siasatan.