fb fb fb fb fb

KPDN tumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak peket subsidi

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali / Foto RTM

PUTRAJAYA, 14 November – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak peket bersubsidi untuk dijual sebagai minyak masak terpakai dengan harga lebih tinggi.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata pihaknya telah menyita sebanyak 14,340 kilogram minyak masak menerusi dua serbuan berasingan di Selangor, Selasa lalu.

Katanya, sindiket didapati membeli minyak masak pada harga subsidi RM2.50 sepeket dan menjualnya kepada industri pada harga RM3.80 sekilogram.

“Saya ingin ingatkan kepada sindiket-sindiket tersebut, kita akan bertindak lebih tegas. Tindakan kita bukan sahaja terhadap sindiket tetapi juga meliputi syarikat pembungkus, pemborong, dan peruncit.

"Jika didapati terlibat dalam ketirisan, penyelewengan, dan penyeludupan minyak masak ini, kita akan menarik semula atau membatalkan lesen CC mereka serta menarik kuota yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang media, di sini.

Menerusi operasi tersebut, seramai 15 individu, termasuk empat warga tempatan, ditahan dalam dua serbuan ke atas sebuah kediaman di Taman Kajang Jaya dan premis perniagaan di Bandar Rincing dan telah direman selama empat hari sehingga 16 November.

Nilai anggaran minyak masak dan aset yang disita adalah sebanyak RM429,850.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN