SLIM RIVER, 14 November-Tiga termasuk sepasang suami isteri disyaki terlibat sebagai ‘transporter’ ditahan bersama 51.97 kilogram dadah di kawasan tempat letak kereta pusat perniagaan Slim Perdana, Taman Sri Jaya, di sini.
Penahanan terhadap suspek dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak dan Perlis kira-kira pukul 3.35 petang, Isnin lalu.
Menurut Pengarah JSJN, Datuk Seri Khaw Kok Chin hasil pemeriksaan menemukan 50 bungkusan plastik mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis methaphetamine bernilai RM2 juta dalam sebuah kereta.
Modus operandi sindiket adalah menyeludup masuk bekalan dadah dari sempadan utara Malaysia sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan dengan menggunakan jalan darat.
"Dalam pemeriksaan ini, kita telah menahan tiga orang iaitu dua lelaki satu perempuan.
"Lelaki pertama berumur 25 tahun dikategorikan sebagai B1 yang kedua B2 berumur 27 dan sorang lagi yang perempuan berumur 25 tahun sebagai B3 iaitu isteri kepada B1.
"B1, ini kalau kita lihat dari segi siasatan awal yang kita jalankan, dia merupakan transporter dan B2 merupakan pembantu kepada B1", katanya demikian ketika ditemui pada sidang media di IPD Mualim.
Tambah Kok Chin, saringan air kencing mendapati hanya seorang daripada suspek positif methaphetamine serta mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan Akta Imigresen.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula 12 hingga 18 November depan bagi membantu siasatan.