KOTA BHARU, 14 November -Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas lebih 6.2 juta batang rokok putih yang dianggarkan bernilai hampir RM4.2 juta disyaki rokok seludup dalam serbuan di dua lokasi berasingan.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan pertama dilakukan di Pelabuhan Klang, Selangor manakala rampasan kedua pula di beberapa kawasan sekitar Kota Bharu.
Katanya, secara keseluruhan jumlah rampasan itu bernilai hampir RM700,000 dengan anggaran cukai RM4.2 juta.
Beliau berkata, dalam operasi pertama pada 4 November lalu, bertindak atas maklumat awam lebih kurang 3.30 petang, Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Kota Bharu, JKDM Kelantan, dibantu Container Control Unit Pelabuhan Klang, Selangor menahan sebuah kontena di Pelabuhan Barat.
"Berdasarkan siasatan awal mendapati ke semua rokok putih tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen pengimportan untuk membuktikan bahawa cukai atau duti telah dibayar", katanya demikian pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM di sini hari ini.
Wan Jamal berkata, sindiket itu menggunakan laluan laut dari Kemboja dan transit di negara ini sebelum bekalan rokok berkenaan dihantar ke Sri Lanka.
Bagaimanapun, tiada tangkapan yang dibuat dan kes masih dalam siasatan.
Sementara itu, dalam operasi kedua pada 10 November lalu, pihaknya turut menahan tiga van di sekitar bandar Kota Bharu dan merampas rokok putih berjumlah hampir 260,000 batang dengan nilai lebih RM36,000 yang disyaki menggunakan setem cukai palsu.
Beliau berkata, ketiga-tiga pemandu van berusia antara 30 hingga 47 tahun ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan 135(1)(e) Akta Kastam 1967.