SHAH ALAM, 14 November - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman seorang lagi pengarah syarikat disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan permohonan kuota pekerja asing untuk kelulusan Kementerian Sumber Manusia bernilai kira-kira RM 1.1 juta.
Perintah reman selama lima hari sehingga 18 November ini dikeluarkan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi.
Suspek wanita berusia sekitar 40-an ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Selangor.
“Suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2023 dengan mengemukakan dua permohonan kuota seramai 600 pekerja asing oleh syarikat berkenaan sedangkan pembekalan tenaga kerja bagi projek yang dikemukakan tidak wujud.
“Dua permohonan ini melibatkan pembayaran levi kira-kira RM 1.1 juta,” katanya menerusi kenyataan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.