fb fb fb fb fb

KPDN sita LPG tanpa permit

Tiga individu ditahan bagi membantu siasatan.

BUKIT MERTAJAM, 3 September - Lapan gas petroleum cecair (LPG) tanpa permit dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi dua serbuan berasingan di sini dan Juru.

LPG berkapasiti 200 kilogram setiap satu itu bernilai RM4,000, menjadikan rampasan dianggarkan melebihi RM58,000.

Pengarah KDPN Pulau Pinang S. Jegan berkata serbuan dijalankan dua pasukan penguat kuasa hasil risikan selama dua minggu.

"Hasil pemeriksaan awal di lokasi pertama mendapati sebuah kilang yang menggunakan LPG tanpa memiliki permit sah.

"Manakala di lokasi kedua, pemeriksaan mendapati premis terbabit menjalankan aktiviti penjualan barang kawalan kepada individu atau pihak yang tidak mempunyai lesen yang sah," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini.

Tiga individu melibatkan dua wanita dan seorang lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 50 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN