fb fb fb fb fb

Pelajar jatuh asrama: Kertas siasatan sedang dilengkapkan

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar

SHAH ALAM, 3 September – Polis sedang melengkapkan kertas siasatan mengenai insiden seorang pelajar yang jatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam pada 24 Ogos lalu.

Mangsa yang merupakan pelajar tingkatan tiga kini masih dirawat di hospital dan dilaporkan belum sedarkan diri.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan di lokasi kejadian termasuk penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan asrama terbabit telah selesai dijalankan.

“Memang siasatan sedang berjalan secara aktif dan banyak keterangan telah dirakam untuk membantu siasatan.

"Kini, kertas siasatan sedang dikemas kini untuk diangkat kepada pihak pendakwaan negeri bagi mendapatkan nasihat dan pandangan selanjutnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau enggan mengesahkan sama ada terdapat unsur buli dalam kejadian itu sehingga rujukan penuh dibuat kepada pihak pendakwaan.

“Setakat ini tiada tangkapan dilakukan. Namun kita sudah mendapat beberapa petunjuk positif hasil keterangan ramai individu dan ia membantu polis menentukan hala tuju siasatan dengan lebih jelas,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN