fb fb fb fb fb

KKM pandang serius buli siber terhadap Dr Jessie Hiu

Dr Dzulkefly Ahmad/RTM

KEMAMAN, 8 September- Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius isu buli siber yang menimpa pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu, saksi dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir, 13.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan serangan berunsur ugutan dan kecaman di media sosial adalah tidak wajar kerana ia boleh menjejaskan moral petugas kesihatan yang sudah terbeban dengan tanggungjawab berat.

Tegas beliau, pakar perubatan menjalankan tugas berdasarkan fakta, bukti saintifik dan prinsip profesional, justeru tindakan buli siber jelas bercanggah dengan nilai kemasyarakatan.

"Kami sudah semestinya memantau dan mengambil tindakan dari semasa ke semasa. Sangat mustahak untuk sebuah Kerajaan MADANI mempunyai rakyat yang peka, agar tidak menjadi pelaku, sementara mangsa pula perlu dilindungi.

"Sebab itu kita memerlukan akta ini supaya lebih terkawal dari aspek undang-undang mahupun etika," katanya kepada pemberita selepas sesi INTAN Minister’s Conversation 2025 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Timur di sini hari ini.

Dzulkefly turut memaklumkan kerajaan akan memperkukuh aspek perlindungan mental dan undang-undang dengan mengguna pakai Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja bagi anggota KKM.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan reformasi sistem kesihatan negara akan memperkukuh fasiliti awam sebagai tunjang utama perkhidmatan kesihatan rakyat.

Dzulkefly berkata, program Rakan KKM antara inisiatif utama yang diperkenalkan bagi mengekalkan kepakaran di fasiliti awam.

"Semua telah bersedia untuk memberikan kapasiti dan katil bagi memulakan rawatan pesakit elektif membabitkan 20 katil yang telah dikenal pasti. Katil ini tidak diambil daripada fasiliti awam sedia ada khususnya bagi rawatan day care dan prosedur elektif, bukan kecemasan, yang masih kekal ditawarkan di fasiliti awam," katanya.

Sebagai permulaan, Hospital Cyberjaya dijadikan lokasi perintis pelaksanaan program berkenaan dengan pesakit pertama dijangka menerima rawatan pada Disember ini.

Selain itu, turut dirancang pelaksanaan penanda aras harga perkhidmatan melalui sistem Diagnosis Related Groupings (DRG) dan Medical Health Insurance Takaful (MHIT) yang diyakini mampu mengawal inflasi kos rawatan serta mengurangkan beban perbelanjaan luar pesakit.

Bagi langkah jangka sederhana dan panjang, kerajaan turut menubuhkan Dana Kesihatan Nasional dengan Rang Undang-Undang berkaitan akan dibentangkan di Parlimen.

Dzulkefly optimis reformasi itu mampu memastikan perkhidmatan kesihatan awam kekal sebagai nadi utama, di samping mengimbangi peranan sektor swasta demi kesejahteraan rakyat. 

SITI AISHAH BINTI MD ISA