fb fb fb fb fb

Kilang haram proses sisa buangan terjadual diserbu di Sungai Siput

FOTO FAIL

SUNGAI SIPUT, 16 Februari - Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak menyerbu sebuah kilang memproses sisa buangan terjadual secara haram di Perusahaan Rimba Panjang, Sungai Siput menerusi Op Hazard.
 
Komander Briged Utara SAC Shahrum Hashim berkata, dalam serbuan pada pukul 9.30 pagi semalam pihaknya turut merampas pelbagai barangan berjumlah RM1.3-bilion termasuk RM1.16 juta sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste).

Siasatan awal mendapati buangan terjadual tersebut dibawa masuk dari negara luar melalui Pelabuhan Klang sebelum dihantar menggunakan kontena ke kilang tersebut.
 
Pemeriksaan sekitar kilang menemukan beberapa peralatan memproses e-waste serta sebuah makmal yang dikendalikan seorang saintis dari China.
 
"Kita jangka barang-barang ini selepas akan dieksport balik ke luar negara untuk diproses semula, sekarang ini dia asingkan daripada e-waste besi-besi ini samada cooper aluminium, gold dan dia akan buat dalam bentuk jongkong.

"Dia pun ada macam kilang separa siap. Contoh jongkong-jongkong ataupun besi tu dia akan masuk dalam tin-tin aluminium yang siap dibungkus dan akan masuk semula dalam kontena," kata Shahrum.
 
Turut ditemukan lebih 1,000 jumbo beg mengandungi sisa buangan terjadual dan e-waste yang dilabelkan sebagai bahan makanan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
 
Seramai 27 individu terdiri daripada pengurus, pemilik hartanah, penyelia, 23 pekerja warganegara asing serta seorang kanak-kanak berusia dua tahun ditahan.
 
Kesemua pekerja warga asing tersebut memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan serta palsu kemudian diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk siasatan lanjut.
 
Hasil risikan mendapati pemilik kilang tersebut mempunyai pengalaman memproses e-waste dan memiliki perniagaan sama di Klang.
 
Kilang haram yang beroperasi di atas tanah seluas 12-ekar kira-kira setahun lalu sedang dalam proses menaiktaraf fasiliti sedia ada kilang tersebut.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 34B(1)(a), Seksyen 18(1) dan Seksyen Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Seksyen 3(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976 Undang-Undang Kecil Pelesenan Premis, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Daerah Sungai Siput).

TETITIA YUSOFF