fb fb fb fb fb

Ketua polis balai ditahan positif dadah, berdepan tindakan tatatertib

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa (tengah) bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 21 April – Seorang ketua polis balai berusia 43 tahun berdepan tindakan tatatertib selepas ditahan dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Pandan Perdana, Ampang Jaya, Jumaat lalu.

Hasil ujian air kencing mendapati beliau positif dadah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pegawai berkenaan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur telah ditukarkan serta-merta ke Bilik Gerakan IPK Pulau Pinang.

“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang. Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai arahan jelas bahawa tiada kompromi terhadap pengambilan dadah, sama ada oleh orang awam atau pegawai kerajaan termasuk anggota polis tanpa mengira pangkat,” katanya dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur hari ini.

Dalam serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman itu, seramai 17 individu telah ditahan, termasuk pegawai polis terbabit yang dipercayai mengambil minuman mengandungi dadah.

Rusdi turut menegaskan anggota polis dilarang berada di pusat hiburan kecuali atas tugasan rasmi yang mendapat kebenaran pihak atasan.

Tambah beliau, pihaknya akan terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang dan memastikan integriti pasukan sentiasa terpelihara.

Dalam perkembangan berkaitan, Rusdi memaklumkan polis berjaya merampas dadah bernilai lebih RM450,000 menerusi dua operasi besar yang dijalankan di ibu negara dalam tempoh tiga hari.

Dalam operasi pertama pada 16 April lalu, serbuan dilakukan ke atas dua unit kediaman mewah di Mont Kiara. Tujuh individu tempatan terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berusia antara 20 hingga 28 tahun ditahan.

“Hasil pemeriksaan di bilik tidur salah satu unit mendapati tiga buah beg mengandungi ganja seberat 32 kilogram dan biskut ganja seberat dua kilogram,” katanya.

Susulan siasatan, satu lagi serbuan dilakukan pada 17 April di Jalan Duta, yang membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 31 tahun. Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemui tujuh kilogram biskut ganja.

Polis turut menyita wang tunai, sebuah motosikal serta tiga buah kereta – Honda City, Honda Civic dan Proton X70 – dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan berjumlah RM385,000.

Enam daripada lapan suspek yang ditahan disahkan positif ganja. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN