fb fb fb fb fb

Kes serangan Balai Polis Ulu Tiram: Dua penuntut IPT dibebaskan tanpa syarat

Anggota polis forensik memeriksa lokasi kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, 17 Mei lalu/Gambar fail BERNAMA

JOHOR BAHRU, 22 Mei - Dua individu yang direman bagi membantu siasatan kes serangan Balai Polis Ulu Tiram, pada Jumaat lalu dibebaskan tanpa syarat semalam.

Ketua polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, dua pelajar berusia 21 dan 22 tahun itu dibebaskan setelah mendapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara.

"Mereka berdua dibebaskan tanpa syarat, semalam, selepas mendapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara.

"Kedua-dua penuntut sebuah kolej swasta serta institusi latihan itu ditahan pada 17 Mei lalu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Bagaimanapun, siasatan terhadap lima sekeluarga masih diteruskan memandangkan tempoh reman mereka tamat pada Jumaat ini," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Pada awal pagi Jumaat lalu, dua anggota polis maut termasuk suspek berumur 21 tahun manakala seorang lagi cedera selepas ditembak dan ditetak seorang lelaki yang tidak dikenali di Balai Polis Ulu Tiram pada pukul 2.45 pagi.

Sebelum ini RTM melaporkan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban dalam tragedi itu.

Koperal Mohd Hasif Roslan cedera parah pula kini stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.

Polis menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi, memanipulasi fakta atau membuat sebarang komen berhubung insiden itu bagi mengelak siasatan terganggu.

ARTIKEL BERKAITAN:

GRACE AISYAH KEDAYAN