KEMAMAN, 30 Januari- Seorang pengarah sebuah syarikat pengiklanan berusia 62 tahun direman enam hari bermula hari ini selepas disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai RM92,500 pada tahun 2020.
Perintah reman terhadap suspek itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin selepas permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perintah reman berkenaan bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan bawah Seksyen 16(a)(a) Akta SPRM 2009.
Majistret turut membenarkan satu lagi perintah reman bagi tempoh sama terhadap seorang lagi individu berusia 57 tahun yang dipercayai menjadi orang tengah.
Semalam media melaporkan kedua-dua suspek ditahan secara berasingan di Batu Caves, Selangor dan Kuantan, Pahang.
Menurut sumber, suspek dipercayai turut menggunakan gelaran 'Datuk' palsu untuk meminta dan menerima rasuah sebagai balasan melantik sebuah syarikat menjadi subkontraktor bagi kerja-kerja pemasangan dan penyelenggaraan papan iklan di sekitar daerah Dungun.
Suspek dikatakan menerima sogokan berkenaan daripada pemilik syarikat dilantik bagi satu projek bernilai RM2.5 juta pada 2020.
Bagaimanapun difahamkan, projek berkenaan tidak wujud, namun suspek menerima wang rasuah itu menerusi akaun pihak ketiga.
Suspek dikatakan telah ditawarkan projek berkenaan membabitkan kerja-kerja pemasangan dan penyelenggaraan papan iklan di seluruh negara.