KUALA LUMPUR, 5 Disember – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan tujuh hari bagi prosiding bela diri Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd, sembilan tahun lalu.
Hakim, Rosli Ahmad menetapkan perbicaraan bermula 9 hingga 11 April, 14 hingga 15 April, serta 5 hingga 6 Mei 2025.
Mahkamah turut mengekalkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, selain kedua-dua pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Hakim Rosli mengambil alih kes itu selepas hakim terdahulu, Rozina Ayob, dipindahkan.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah masing-masing berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau didakwa menerima suapan daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi, melalui Zizie Izette di Public Bank, Cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015.
Selain itu, Bung Moktar turut didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili, atas nama Zizie Izette di lokasi sama pada 19 Jun 2015.
Zizie Izette pula menghadapi tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya atas kesalahan berkenaan di lokasi, tarikh, dan masa yang sama.