fb fb fb fb fb

KPDN Pulau Pinang rampas lebih 25,000 kg barang kawalan

Foto Hiasan

BUKIT MERTAJAM, 5 Disember - Lebih 25,000 kilogram (kg) barang kawalan seperti minyak masak, gula dan tepung gandum dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, di sebuah gudang di Permatang Batu, di sini pagi tadi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Negeri Mohd Suffian Mohd Abbas berkata, kesemua barang kawalan itu bernilai RM80,500.

Katanya, pekerja premis tersebut menempatkan minyak masak paket yang diborong ke dalam tong 'jerry can' sebelum dijual kepada pihak industri.

Ia dipercayai dijual pada harga RM80 hingga RM90 bagi setiap tong berkapasiti 17 kg.

"Daripada pemeriksaan yang kita lakukan pada hari ini kita  temui minyak masak sebanyak 6,371 kg, gula pasir 18,100 kg manakala tepung gandum sebanyak 1,100 kg termasuklah juga rampasan yang mana kita ada sebuah lori yang dah bersedia nak buat penghantaran itu," kata Suffian.

Beliau mendedahkan perkara itu di sebuah premis di Permatang Batu, Bukit Mertajam.

Risikan dijalankan kira-kira sebulan lalu sebelum serbuan dibuat sepasukan penguatkuasa pada pukul 11.00 pagi tadi.

KPDN kini, sedang mengenal pasti pemilik gudang terbabit dan beberapa pekerja lain yang dipercayai sempat melarikan diri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Kawalan bekalan 1961 dan Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

TETITIA YUSOFF