JOHOR BAHRU, 24 Januari - Polis mempercayai motif pembunuhan ibu tunggal, Mila Sharmila Samsusah, 32 tahun atau lebih dikenali sebagai Bella adalah disebabkan cemburu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata punca kematian pula dipercayai disebabkan keretakan di kepala akibat dipukul objek tumpul.
“Motif pembunuhan Bella ini adalah mungkin cemburu, macam saya cakap sebelum ni di Kuala Lumpur, kes bunuh ini mesti mempunyai motif. Daripada motif tersebutlah, kita akan memulakan (siasatan) di situ, dapat bayangan ke arah motif. Inilah motif (pembunuhan Bella) yang kita dapat tahu,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan upacara serah terima tugas Ketua Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini.
Dalam pada itu, Razarudin menafikan dakwaan di media sosial bahawa polis seolah-olah memberi “layanan mesra” kepada suspek dalam siasatan kes tersebut.
Razarudin menjelaskan, kali pertama suspek utama ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 364 Kanun Keseksaan iaitu melarikan orang.
Setelah keterangan diambil, suspek diberi jaminan polis kerana pihaknya mendapati tidak cukup bukti.
"Siasatan kita adalah dibawah Seksyen 364 tetapi bila keterangan tidak mencukupi, kita bagi jamin, bukan bebas, siasatan, kita tidak akan berpuas hati dengan apa siasatan kita lakukan, kita akan terus lakukan siasatan, atas usaha PDRM Johor, khusus batu pahat," katanya.
Namun Razarudin berkata, selepas terdapat bukti dan keterangan baharu, pihaknya menahan suspek sekali lagi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
ARTIKEL BERKAITAN: