KUALA LUMPUR, 2 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan akan memanggil semula semua pihak yang terlibat dalam siasatan kes kematian Teoh Beng Hock.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kes akan disiasat semula sejurus arahan diterima.
"Sejurus arahan diberikan kami akan siasat semula kes itu, apabila kita buka kembali kertas siasatan kes ini semua aspek terlibat perlu dilihat dan kemungkinan besar kita akan panggil semua yang terlibat," katanya pada sidang media, di sini.
Tambah Shuhaily, pihaknya sedang menunggu arahan lanjut berhubung keperluan membuka semula siasatan berkaitan kes tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis dilaporkan berkata kerajaan bersetuju untuk pihak polis membuka semula kertas siasatan kes itu.