BATU PAHAT, 20 Januari - Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan dilakukan bagi pengesahan identiti Mira Sharmila Samsusah atau Bella, yang dilaporkan hilang sejak 14 Disember susulan penemuan rangka manusia tidak sempurna
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, rangka tersebut ditemui di sebuah rumah terbiar di Batu 7, Tongkang Pechah di sini kira-kira 2 petang, pada Jumaat.
Penemuan rangka itu selepas seorang daripada suspek yang ditahan bagi membantu siasatan membawa pihaknya ke lokasi kejadian.
"Siasatan ke lokasi mendapati terdapat pakaian ditemui pada rangka terbabit. Bagaimanapun, pengesahan identiti mangsa hanya dapat dilakukan kira-kira dua minggu lagi.
“Keluarga Bella sudah dimaklumkan mengenai penemuan itu, namun kita belum dapat mengesahkan sama ada rangka itu milik wanita tersebut.
“Rangka ini akan dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru untuk ujian DNA dan hanya akan dapat diketahui antara dua minggu hingga sebulan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi rangka itu dijumpai di sini hari ini.
Pada 14 Disember tahun lalu, ibu tunggal dua anak itu gagal dihubungi selepas hilang keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada 11.50 malam.
Bella dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap, untuk mencuci pakaian di kedai dobi.
Bagaimanapun, selepas tarikh itu dan sehingga kini, kelibat wanita terbabit terus hilang.
Usaha untuk menghubungi Bella juga tidak berjaya selain telefon selain mesej dihantar menerusi aplikasi WhatsApp hanya menunjukkan satu tanda sahaja.
Sementara itu, keluarga berharap rangka tidaak sempurna yang ditemui dalam rumah sewa terbiar itu bukan Bella.
Kakak mangsa Norisham, 36, berkata jika ia disahkan adiknya, mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Allah namun berharap hukuman setimpal dikenakan terhadap pelaku tersebut.