fb fb fb fb fb

Jururunding putih mata, rugi lebih RM1.6 juta terpedaya pelaburan kripto tidak wujud

FOTO HIASAN

IPOH, 20 Januari- Seorang lelaki mengalami kerugian berjumlah RM1.65 juta akibat membuat pelaburan mata wang kripto menggunakan platform 'Unobitex' yang tidak wujud.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 37 tahun berasal dari Taman Perak, Khamis lalu.

Beliau berkata mangsa yang bekerja sebagai jururunding itu membuat aduan mengenai satu kes tipu pelaburan tidak wujud apabila suspek memperdayanya melalui laman media sosial Facebook dan aplikasi Telegram untuk membuat pelaburan mata wang kripto menggunakan platform berkenaan.

"Siasatan polis mendapati pada awal September 2023, semasa mangsa berada di rumahnya, beliau telah diperkenalkan oleh seorang rakan yang dikenali melalui Facebook untuk membuat pelaburan dalam pasaran unit mata wang kripto melalui satu platform Unobitex.

"Mangsa telah memasukkan dana sebanyak 44 kali ke dalam pelbagai akaun bank yang berbeza berjumlah RM1,651,585 (RM1.65 juta) sejak 12 September 2023.

"Namun, apabila mangsa ingin mengeluarkan wang keuntungan pelaburan, suspek telah meminta mangsa untuk membuat bayaran cukai negara Arab Saudi, dan ketika itulah mangsa sedar bahawa dirinya telah ditipu oleh suspek," katanya dalam satu kenyataan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Justeru, Mohd Yusri memberi peringatan kepada masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam platform media sosial, khususnya melalui aplikasi kewangan atau pelaburan yang tidak diluluskan Bank Negara atau Suruhanjaya Sekuriti.

Beliau berkata orang ramai boleh menghubungi talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997 jika menjadi mangsa penipuan skim pelaburan yang tidak wujud.

“Sebarang pertanyaan mengenai jenayah penipuan, mereka boleh menghubungi CCID Infoline di talian 013-2111222 (WhatsApp sahaja) yang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam,” katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE