fb fb fb fb fb

Kes culik Albertine Leo: Suspek sambung reman enam hari

Seorang suspek lelaki yang disyaki menculik Albertine Leo Jia Hui, 6, di pusat beli-belah di Iskandar Puteri, disambung reman bermula esok hingga Ahad ini/Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 29 Julai - Tempoh reman ke atas suspek lelaki berumur 31 tahun yang disyaki menculik Albertine Leo Jia Hui, 6 di pusat beli-belah di Iskandar Puteri, pada 20 Julai lalu, dilanjutkan enam hari lagi.

Perintah reman bermula esok sehingga 4 Ogos dikeluarkan Majistret Noorfazlin Hamdan di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu dengan tangan bergari tiba di Kompleks Mahkamah pada pukul 8.50 pagi.

Suspek sebelum ini telah direman sejak 26 Julai lepas sehingga hari ini, setelah ditahan pada 23 Julai lalu, pukul 4.45 pagi.

Susulan kehilangan kanak-kanak itu, empat suspek ditahan terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia 28 hingga 55 tahun sebelum keempat-empat mereka dibebaskan dengan jaminan polis pada 26 Julai (Jumaat) lepas.

Sebelum ini media melaporkan, kanak-kanak itu ditemukan selamat pada 23 Julai lalu di sebuah hotel murah di Batang Kali kira-kira 4.45 pagi.

GRACE AISYAH KEDAYAN