KUALA LUMPUR, 16 Februari - Jumlah kes jenayah komersial mencatatkan peningkatan sebanyak 34.3 peratus dengan 4,741 kes.
Ini melibatkan kerugian lebih RM500 juta setakat 11 Februari lepas berbanding nilai kerugian RM181 juta pada tempoh sama tahun lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata nilai kerugian dicatatkan turut meningkat 207.6 peratus dalam tempoh berkenaan.
"Untuk rekod kerugian tertinggi yang dicatatkan bagi kes penyamaran sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) adalah RM1,433,774.42 dimana dilaporkan di Kajang, Selangor pada awal Februari 2024.
"Adalah diingatkan NSRC adalah pusat panggilan yang hanya menerima panggilan dari orang ramai dan NSRC itu sendiri tidak pernah membuat panggilan," katanya pada sidang media mingguan JSJK, di sini.
Tambah Ramli, perubahan senario jenayah komersial itu juga, menuntut ketekunan dan kesungguhan warga JSJK untuk memberikan perkhidmatan terbaik khususnya dari aspek siasatan dan pembanterasan.
"Trend peningkatan kes dan nilai kerugian yang direkodkan itu merupakan cabaran kepada JSJK," katanya.
Sehubungan itu, Ramli berkata usaha bagi membenteras kegiatan jenayah komersial perlu dilipat gandakan bagi membenterasnya habis-habisan.