TAWAU, 11 Jun - Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan keputusan kes 13 pelajar lelaki Kolej Vokasional Lahad Datu yang didakwa membunuh rakan mereka Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan tahun lepas ke 23 Julai ini.
Sebelum ini, keputusan kes itu dijadualkan hari ini, namun Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif berkata penangguhan itu bertujuan klarifikasi penghujahan.
"Semua pihak sudah memfailkan hujahan balas, pasukan pendakwaan memfailkan hujahan utama sebanyak 266 muka surat dan hujahan balas 100 muka surat.
"Bagi pasukan pembelaan, lapan peguam sudah memfailkan hujahan balas," katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Pada Mei lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Duncan Sikodol menetapkan hari ini untuk keputusan kes bunuh Mohamad Nazmi Aizzat, bagaimanapun notis dikeluarkan Mahkamah Tinggi semalam (10 Jun) adalah bagi penjadualan semula tarikh.
Pada 28 Feb lepas, Duncan memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun untuk membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lepas.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Prosiding pembelaan bermula pada 10 Mac lepas dengan 18 saksi termasuk 13 tertuduh dipanggil memberi keterangan.
Kes pendakwaan pula bermula 19 Nov tahun lepas, dengan 25 saksi memberi keterangan termasuk pelajar dan guru kolej vokasional terbabit.
Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye manakala lima lagi diwakili oleh peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang serta Kusni Ambotuwo. - BERNAMA