fb fb fb fb fb

Keluarkan bau busuk, kilang getah berdepan tindakan undang-undang

Foto FB Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah

KULIM, 9 Oktober-Sebuah kilang memproses getah terpakai di sini diarahkan untuk menghentikan operasinya buat sementara waktu selepas didapati mengeluarkan bau busuk yang mengganggu penduduk sekitar.

Bertindak hasil aduan orang awam, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah telah mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Arahan tersebut mengarahkan agar pihak premis mengambil langkah pembetulan serta menjalankan penyelenggaraan ke atas alat kawalan pencemaran udara yang dipasang di kilang berkenaan.

Menurut Pengarah JAS Negeri Kedah, Syarifah Zakiah Syed Sahab dalam kenyataan berkata, siasatan di lokasi mendapati bau busuk dikesan berpunca daripada kerosakan alat kawalan pencemaran udara jenis “scrubber”, yang tidak berfungsi dengan baik.

"Pihak premis telah diberikan tempoh dua minggu untuk mematuhi arahan dan menjalankan penyelenggaraan yang diperlukan bagi memastikan alat kawalan tersebut beroperasi dengan sempurna," katanya.

Selain itu, JAS Kedah turut mengambil langkah drastik dengan mengeluarkan arahan penahanan operasi ke atas peralatan tersebut di bawah Seksyen 38, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Langkah itu diambil bagi menghentikan punca pencemaran sehingga alat kawalan pencemaran tersebut diperbaiki sepenuhnya.

Kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

Jika sabit kesalahan, pihak kilang boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau hukuman penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pihak JAS menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau kes tersebut dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan alam sekitar demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD